Sunday, February 24, 2013

Belajar dari HAMAS


HAMAS pertama kali menyertai pilihanraya legislatif pada awal 2006. HAMAS telah menang dengan bergaya dengan menyapu 76 daripada 132 kerusi parlimen (iaitu 58%). Apakah yang menyebabkan masyarakat Palestin begitu yakin untuk memberi sokongan padu kepada HAMAS yang baru pertama kali “menceburkan  diri” di medan politik pilihanraya atau demokrasi secara langsung. Masyarakat Palestin sangat mengetahui bahawa sokongan mereka kepada HAMAS dan kemenangan HAMAS akan menyebabkan kehidupan mereka bertambah sengsara, iaitu mereka akan ditekan dengan lebih keras oleh Israel dan sekutu-sekutunya.

Mungkin ini adalah kesan tarbiyah dan pembentukan jiwa masyarakat Palestin yang telah dilakukan secara berterusan sehingga “a’ish ‘azeezan, ‘au mut syaheedan” (hidup mulia atau mati syahid) menjadi prinsip kehidupan mereka. Masyarakat Palestin faham bahawa undi mereka bermatlamat untuk menegakkan kembali daulah Islam dan segala syiar yang berkaitan dengan mengtauhidkan Allah. Mereka sangat faham bahawa tiada yang lebih berharga melainkan hidup bermaruah dengan berlandaskan Al Quran dan Sunnah, serta kembali kepada Allah dalam keadaan telah melaksanakan keseluruhan tuntutan tersebut.

Ttanya sahaja sesiapa yang telah menjejakkan kaki di bumi anbiya’ tersebut, sehingga kini, pasti dapat merasakan serta melihat dengan jelas aura keimanan mereka dan aplikasinya dalam kehidupan.

Keikhlasan HAMAS tampak jelas di bumi Palestin. Mereka menunjukkan bahawa ukhuwah Islamiyah juga lebih besar dari segala perbalahan, permusuhan dan dendam kesumat sesama kaum muslimin. Akhlak “hilmi” amat kaya di sanubari mereka, mereka memberi kemaafan dan tidak membalas kemarahan walaupun mampu melampiaskan kuasa politik yang diperolehi mereka terhadap Fatah yang sekian lama banyak membantai HAMAS.  HAMAS menyampaikan salam perpaduan untuk kepentingan ummah, sedangkan dengan kemenangan majoriti, mereka tidak perlu pun Fatah menempek di sisi mereka.

Banyak rupanya yang kita belum pelajari dari ummat yang Allah janjikan sebagai pelopor dan pencetus kemenangan Islam di muka bumi. Masyarakat Palestin faham undi mereka bermaksud nyawa, harta dan keselesaan mereka terancam, tetapi asalkan Islam tertegak atas muka bumi.

1948 Palestin dijajah Zionis. 1987 HAMAS diasaskan secara formal. 2006 HAMAS menerajui kepimpinan masyarakat Palestin. Masyarakat Palestin semakin menapak ke ambang kemenangan. Israel mula menyuarakan kegusaran, sekutu besarnya Amerika Syarikat semakin berhadapan krisis ekonomi, sosial dan politik. 65 tahun berlalu sejak Palestin terjajah, mungkin kemenangan sebenar mengambil masa 20 tahun, 30 tahun, atau 50 tahun lagi.

Belajarlah dari mereka wahai rakyat Malaysia. Bermulalah hari ini, dengan niat, nafas dan langkah yang baru.  Mari meletakkan Islam sebagai matlamat tertinggi. Buangkan yang keruh, ambil yang jernih. Mari kita menyebarkan kasih sayang, perpaduan atas dasar kepentingan ummat serta kesetiaan kepada sesama kaum muslimin.

Orang yang kalah bukanlah orang yang lambat bermula atau lambat sampai ke destinasi, tetapi orang yang kalah adalah orang yang tidak pernah bermula.