Tuesday, March 01, 2005

“Jikalau aku tahu di seberang sana ada lagi negara yang masih belum dengar tentang Islam, nescaya aku akan membawa kudaku menyeberangi lautan ini untuk menyebarkan Islam.” (‘Utbah bin Nafiq)

Allahu Akbar!!! Kekentalan semangat ‘Utbah bin Nafiq bagaikan mengejutkan insan kerdil seperti aku yang telah lama terlena di dalam buaian dunia. Tidak dapat aku bayangkan kesungguhan yang sebegitu akan meniti di hati seorang yang bernama manusia. Kalau tidak, Islam pasti tidak akan singgah hingga ke pesisiran pantai utara Afrika. Deruan angin membawa bersama beliau dan seruan shahadatul haq ke bumi bertuah itu. Nikmat kalimah Allah yang telah berakar umbi di sanubari tidak hanya disimpan untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya kalimah itu adalah untuk seluruh umat manusia. Maka dengan kesedaran itulah, para mujahid berkekang mata, memerah segala keringat dan mempertaruhkan nyawa di jalan dakwah. Cukupkah dengan usaha mereka sahaja? Di manakah peranan kita di dalam penyebaran risalah Islam?

Kalimah ini untuk perkongsian, bukan untuk perahsiaan! Kita semua perlu bergerak berkongsi kalimah Allah di era siber kini!

Masih segar di ingatanku tentang sejarah Islam di mana Rasulullah SAW telah menghantar surat kepada raja-raja di sekitar tanah Arab untuk mengajak mereka kepada Islam. Utusan-utusan dihantar bergerak ke Byzantium, Alexandria dan Parsi, mengajak mereka beriman kepada Allah yang satu. Di waktu itu masih belum ada internet dan broadband tetapi Islam tetap berkembang dengan meluasnya, malah lebih maju lagi. Perjuangan Rasulullah SAW dan para mujahid Islam menyedarkan diriku bahawa masih ada tanggungjawabku yang belum selesai. Masih ramai lagi yang belum mendengar tentang Islam di zaman siber ini! Usaha para sahabat utk menulis dan mengumpulkan semula Al-quran adalah bukti bahawa kalimah Allah mesti diteruskan. Pernah ku terbaca sejarah Islam mencatatkan di zaman kerajaan Abasiyyah, wujudnya sasterawan dan ahli falsafah Islam yang mencipta syair-syair dan meluaskan ilmu untuk menyebarkan Islam. Islam berada di kemuncak pada zaman itu. Nah!Inilah perjuangan kita!Menyebarkan kalimah Allah hingga ke seluruh pelosok dunia!
Aku rasakan wasilah dakwah boleh diperluaskan di era siber kini. Seperti ku katakan tadi, tiada internet dan broadband di zaman Rasulullah SAW, tetapi bagaimana Islam boleh tersebar dengan meluasnya? Semangat jihad yang berumbi dari hati itu yang kita mahukan! Kemunculan platform di alam maya seperti laman web dan video islamik, blogspot, sodeeq, messenger, online conference dan sebagainya boleh kita jadikan sebagai platform dakwah. Itulah ‘cyber’ dakwah! Aku sebagai daie alam siber mesti menjadi lebih kreatif dalam menyebarkan risalah Allah. Inilah tanggungjawab kita!Tidak wajar bagiku untuk terus berada di takat lama di zaman jalur lebar ini; di mana apabila semua orang sudah mencapai 1GB , aku masih dengan ‘dial up’ yang asyik ‘disconnect’. Macam mana nak jadi mujahid Islam kalau asyik ‘disconnect’ je? Hatiku mesti sentiasa ‘broadband’ kepada Allah. Aku mahukan sahabat-sahabatku juga memiliki hati yang ‘broadband’ kepada Allah; bersama berjuang menyebarkan shahadatul haq ke seluruh umat manusia!
Semangat jihad ‘Utbah bin Nafiq boleh kujadikan contoh di zaman siber ini. Sekarang aku tidak perlu lagi membawa kuda menyeberangi lautan demi menyebarkan Islam. Hanya dengan teknologi yang ada pada masa kini, dakwah Islam boleh tersebar dengan meluas. Asalkan kita bijak mengenalpasti ruang yang ada dan bertindak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syariah. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Bila wasilah ini berjaya, kita mesti terus bergerak dengan lebih pantas lagi! Ibarat anak singa yang sudah tahu berjalan; pantas berlari mengejar mangsanya!

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan satu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d: 11)

Semoga dengan perkembangan teknologi yang rancak ini akan menemukan kita dengan ‘Utbah bin Nafiq zaman moden:

“Jikalau aku tahu di seberang sana ada lagi manusia yang masih belum dengar tentang Islam, nescaya aku akan menggunakan messenger, membuat video dan laman web islamik, mengadakan usrah, edarkan bahan tarbiyyah, forwardkan email, website dan blog serta bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuanganku; menyeberangi lautan maya ini untuk menyebarkan Islam! Allahu akbar! "