Friday, September 17, 2010


Indahnya mendapat peluang daripada Allah untuk merasai tugasan dakwah, menjadi salah seorang yang ingin hidup dan mati dengan Islam. Ingin saya membingkiskan sedikit pengalaman yang saya harapkan sangat agar saya tidak melakukannya ataupun mengulanginya. Moga Allah memberi saya taufiq dan hidayahNya agar sentiasa berpegang kepada yang jernih dan menjauhi yang keruh.


KESALAHAN PERTAMA


Berkata tanpa ilmu dan hikmah akan bisa sahaja menyakitkan si pendengar. Apatah lagi berkata tanpa ada perbuatan yang menyusul kata-kata tersebut, akan lebih membengangkan. Itulah yang menyebabkan saya mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun sebelum menegur seseorang. Pertama sekali, kerana khuatir saya juga adalah orang yang berbuat salah tersebut. Dan kerana khuatir juga, kalau dulu saya tidak buat, dalam masa akan datang saya pula yang membuatnya.
Pengalaman diri daripada seorang muslim yang banyak jahiliyahnya dan bertukar secara “gradual” kepada muslim yang cuba memahami dan mengamalkan islam menyebabkan saya mahu lebih berhati-hati dalam menegur seseorang. Saya pernah berjumpa dengan beberapa orang yang saya boleh kategorikan mereka sebagai pendidik (murabbi). Dan mereka yang lebih memberikan kesan yang mendalam adalah mereka yang memberi nasihat secara lembut, berhikmah, kena pada waktunya, penuh kasih sayang, tegas bertempat dan juga mereka sendiri melaksanakan apa yang mereka katakan sehingga saat waktu sekarang ini.
Seorang daripada murabbi saya tidak pernah menegur cara berpakaian saya, cara pergaulan saya, cara percakapan saya, dan pelbagai cara hidup saya yang lain, tetapi didikannya yang mengambil kira “masa adalah sebahagian rawatan” dan penuh kesabaran memberi api-api kesedaran menjadikan saya mahu berubah sendiri tanpa disuruh.
Berbanding dengan suatu lagi pengalaman saya, teguran yang tidak berhikmah, tidak kena pada tempat dan masa adalah sesuatu yang menyakitkan dan walau hati kecil saya mengakui kebaikan daripada teguran tersebut, dan saya turut berubah. Tetapip analoginya seperti berjalan di suatu jalan,ada semacam buah yang keras yang menimpa kepala. Kita masih meneruskan perjalanan tetapi kepala masih terasa sakit.
Saya selalu cuba untuk mengikhlaskan hati menerima teguran. Dan bagi kebanyakan orang yang mahu berubah, saya percaya mereka juga cuba mengikhlaskan hati mereka untuk berubah. Mungkin ada yang ambil waktu yang sekejap, ada juga ambil waktu yang lama. Para pendakwah hendaklah sedar akan hal ini, dan perlu sentiasa berbaik sangka dengan anak-anak didik (mutarabbi). Apabila sampai satu peringkat yang mereka lebih sudah bersedia, kemungkinan lebih sesuai untuk lebih tegas ke atas mereka.


KESALAHAN KEDUA


Ada para pendidik yang telah lama mengenali anak-anak didiknya. Sejak waktu mereka masih bertatih memahami Islam, sehinggalah mereka menjadi para pekerja untuk Islam. Adakalanya, nostalgia lama memang menggamit hati. Tetapi sekiranya salah tempat dan masa untuk diimbau, akan menyebabkan anak-anak didik berasa sedih dan kurang selesa.
Ada suatu pengalaman saya, yang mana seseorang kakak pendidik veteran telah membangkitkan “kisah zaman jahiliyah” salah seorang anak didiknya di khalayak ramai, mungkin tujuannya ingin memberi pedoman dan seronok-seronok mengimbau nostalgia lampau. Namun begitu si anak didik tersebut berasa sangat malu dan segan, terus berkecil hati di atas perkara tersebut. Seorang pendakwah harus lebih bersikap sensitif dan mengambil kira bahawa tidak semua orang seperti Saidina Umar r.a. yang mana dia memang tidak kisah untuk menceritakan secara terang-terangan zaman kebodohannya semasa musyrik untuk pedoman orang ramai (Cerita makan patung berhala diperbuat dari kurma). Perbuatan sebegini bukan sahaja boleh merosakkan ukhuwah, malah boleh menimbulkan hilang rasa percaya kepada si pendidik.
Kisah silam anak-anak didik kita adalah amanah. Tetapi sekiranya perlu diceritakan untuk pedoman, rahsiakanlah profilnya atau dapatkan kebenarannya terlebih dahulu sebelum bercerita.


KESALAHAN KETIGA


Benar doa adalah senjata mukmin. Tapi janganlah jadikan ia senjata untuk mencederakan hati orang lain atau senjata untuk merosakkan ukhuwah. Allah lebih mengetahui doa yang mana satukah ingin Dia makbulkan. Kita boleh berdoa, tetapi janganlah sehingga terasa bangga apabila berlaku perkara yang kita doakan, kita sangka bahawa Allah telah mendengar doa kita. Kemungkinan Allah telah mengabulkan doa orang lain, dan bukan doa kita. Dan kemungkinan juga Allah ingin menguji seorang hambaNya, dan bukanlah mendengar permintaan kita. Kita perlu menginsafi, sekiranya benar apa yang kita pinta, Allah telah jadikan ia kenyataan, beristighfarlah banyak-banyak di tengah kelegaan kita. Dan jangan pula rasa maqam kita telah tinggi, kerana orang yang merasakan dirinya baik adalah belum lagi baik.
Ada pengalaman saya bersama seorang rakan pendakwah, dia telah merasakan telah dianiaya oleh seorang rakan pendakwah yang lain. Lalu, dia mengatakan kepada saya bahawa terlintas dihatinya doa supaya rakan tersebut gagal di dalam peperiksaannya. Maka selepas keluar keputusan peperiksaan, memang benar rakan tersebut gagal. Lalu dia berkata bahawa seolah-olah Allah telah mendengar doanya. Saya berasa kurang selesa dengan penyataan tersebut, kemungkinan Allah ingin menguji rakan yang gagal tersebut dan memberikannya pahala. Apa haknya untuk berasa lega di atas kegagalan sahabatnya? Hanya kerana dia pernah terluka dan mendoakan Allah untuk “memberi balasan setimpal” kepada sahabatnya?
Bukankah di dalam Al Quran, Allah menyebut memaafkan itu adalah lebih baik kerana Allah akan mengampunkan. Dan juga Allah menyebut bahawa dia akan menguji hamba-hambaNya untuk melihat siapakah yang terbaik amalannya. Dan juga Allah juga menyuruh kita menyeru yang baik-baik.
Seorang pendidik yang ingin menjadi murabbi sejati, jiwanya perlu lapang dada, penuh kesabaran dan sentiasa bersangka baik. Dia sentiasa mendoakan kebaikan rakan-rakan pendidiknya, anak-anak didiknya serta orang-orang lain. Sepatutnya, kita boleh membiarkan lintasan hati untuk mendoakan keburukan dan kesengsaraan rakan seperjuangannya walaupun tujuannya untuk “mengajar”. Adalah lebih baik, sekiranya didoakan “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Berhikmah lagi Bijaksana. Ajarkanlah untuk sahabatku ini, dengan caramu yang maha berhikmah lagi memberi kesan.” Dia perlu melepaskan jiwa pendendamnya, jiwa pemarahnya, jiwa egonya dan jiwa amarah yang lain.


KESALAHAN KEEMPAT


Dalam Surah As Saff, Allah menyatakan bahawa Dia tidak menyukai orang yang mengatakan apa yang tidak dia lakukan. Atau senang kata, “cakap tak serupa bikin”. Para pendakwah hendaklah menyedari, bahawa nasihat yang mereka sampaikan kepada orang lain pada hari ini, bukan untuk hari ini sahaja. Bahkan untuk masa bertahun-tahun akan datang sehingga akhir hayat kita. Sekiranya kita menyedari hakikat ini, kita akan lebih berhati-hati dalam menasihati, dan juga berhati-hati dalam perbuatan kita. Bagi saya sendiri, hal ini adalah sangat susah kerana hati pendakwah sendiri pun selalu berbolak balik. Semoga Allah mengampunkan kita.
Ada seorang rakan pendidik pernah menegur saya untuk bersikap lebih kemas dan teratur. Alhamdulillah, dengan tegurannya saya berubah, walaupun nada dan cara teguran adalah sedikit menyakitkan pada ketika itu. Kini saya melihat pada kehidupannya pula setelah beberapa tahun daripada tarikh dia menegur saya, cara hidupnya kurang kemas, kurang bersih dan kurang teratur. Dan saya berdoa kepada Allah moga Allah membantu urusan-urusannya. Dan saya turut mendoakan agar saya tidak menyatakan sesuatu yang kemungkinan tidak sanggup untuk saya memikulnya (nasihat anda adalah sesuatu yang anda perlu pikul sehingga akhir hayat anda)! Janganlah jadikan nasihat kita sebagai modal untuk orang lain menempelak semula tugasan mulia yang kita bawa.


KESALAHAN KELIMA


Di kalangan pengamal dakwah terdapat pelbagai kategori pengalaman. Ada yang veteran, senior, junior dan amatur. Ada yang mendapat didikan (tarbiyah) di negara Timur Tengah, dan juga ada yang mendapat didikan di Barat, dan juga didikan tempatan, ataupun dari kawasan lain di dunia. Ada yang mendapat tarbiyah pada era 60-an, 70-an, 80-an, 90-an malah pada era alaf baru. Setiap lapisan pengamal dakwah ini mempunyai potensi dan kelebihan masing-masing. Sepatutnya setiap daripada kita saling lengkap-melengkapi bukan saling banding-membandingkan. Itulah beban dan tanggungjawab apabila menjadi pihak yang “lebih berkelebihan”, kadang-kala kita mudah memandang rendah orang lain.
Namun begitu, ada kalanya terbit suara yang menyatakan “tarbiyah yang kamu dapat dulu tak boleh pakai”. Atau “itu pengalaman dulu, sekarang lain, tidak boleh diguna lagi”. Ya, memang benar bagi setiap pengalaman baru dakwah, kita perlu melayannya mengikut kesesuaian suasana, tempat dan masa. Namun begitu pengalaman lalu mampu membantu dan mematangkan kita. Janganlah memburukkan pengalaman lalu seseorang, kerana mungkin pengalamannya itulah yang telah mematangkannya, yang telah mendisiplinkannya, dan yang telah membesarkannya untuk hidup dan mati dalam Islam.
Saya merupakan graduan negara Barat, mempelajari jurusan “bukan agama”,mendapat tarbiyah pada era alaf baru. Mungkin boleh bergelar generasi muda dakwah. Sungguhpun begitu, saya sangat menghargai tempoh pentarbiyahan yang telah diperolehi yang mencakupi seluruh aspek perubahan kehidupan saya. Saya merasai jua pengalaman ditarbiyah dan mentarbiyah. Saya percaya, saya dan generasi saya tidak meminta untuk dihargai, kami boleh jadi komando untuk program perkhemahan ataupun setakat tukang masak. Indahnya berada di saf perjuangan ini, adalah pahalanya sama sahaja, ketua mahupun kuli. Asalkan tugasan yang diberikan dipikul dengan amanah. Jadi tidak perlu terasa terhina, kerana di sisi Allah, semua pekerja untuk Islam dipandang mulia, insya Allah.

Semoga Allah melindungi sekalian amilin dan amilat Islam agar tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang menyebabkan progres dakwah kita tertangguh, dan melambatkan kemenangan Islam. Allahua’alam.

Salam & good day,


Dah lama saya menyepi dari dunia blog ni.. Kini ingin kembali aktif.. Tapi aktif sendiri-sendiri la.. Supaya apa yang ditulis di sini jadi catatan kehidupan saya :-) Nanti bila dah tua, saya tengok balik blog ni, akan tersenyum sendiri...

Blog ini mula ditulis semasa zaman bujang saya.. Masa masih menuntut di Australia.. Lepas tu zaman bujang bekerja.. semasa di Kuala Lumpur.. Kemudian dah kahwin, duduk di Melaka.. lepas tu dapat anak sorang.. pastu dapat anak sorang lagi..

2 Mujahidah peneman dakwah seperti di dalam gambar.. kakaknya Auni Insyirah dan adiknya Maryam Athiyyah.

Semoga terus thabbat dan istiqamah!