Mungkin kerana Maryam Athiyyah sedang nyenyak tidur manakala Auni Insyirah pergi mengikut neneknya membeli barang. Jadi aman sedikit untuk menggunakan komputer. Hehe..
UJIAN ALLAH - MEMURNIKAN NIAT DARI AWAL DALAM BERAMAL
Hari ini terdetik untukku merakamkan cetusan hatiku, betapa Allah sentiasa berterusan menguji hamba-hambaNya. Untuk apa? Mungkin untuk menambah pahala hambaNya, untuk hambaNya memperbaiki dirinya, untuk hambaNya menilai dirinya, untuk hambaNya terus bangun setelah selesai mengerjakan satu amal soleh, untuk mengerjakan satu amal soleh yang lain.
Kadangkala, Allah hanya menurunkan ujian dalam bentuk "khabar" sahaja, sedangkan ujiannya itu tidak sampai ke fizikalnya. Untuk memurnikan niat hambaNya dari awal. Nah! Kalaulah aku telah berniat baik tadi untuk melakukan amal tersebut, sudah tentu aku mendapat pahala. Tetapi tadi aku berniat mencari alasan bagaimana untuk mengelakkan diri daripada melakukan amal tersebut.
Anda faham? Tidak? Biarku memberi contoh.. Kami ditugaskan untuk melaksanakan satu program yang memerlukan komitmen yang tinggi. Bagi diriku, ia agak sukar untuk ku lakukannya untuk ketika ini kerana komitmen kerja dan keluarga. Namun begitu, aku berusaha sedaya upaya untuk merancang dan membuat persiapan bagi program tersebut. Sehari sebelum program tersebut diadakan, kami telah dimaklumkan program itu ditangguh ke masa yang lain! Subhanallah! Moga Allah memberi pahala di atas niat yang baik! Dan sudah tentu, hehe.. Ada sedikit rasa lega kerana program telah ditangguhkan :-P (moga Allah ampunkan kelemahanku ini)
RAMA-RAMA RALIT DENGAN BAYANGNYA DI MUKA AIR, MEMBAHAYAKAN DIRINYA UNTUK TENGGELAM ATAU BASAH TERKENA PERCIKAN
Tajuk ini merupakan analogi yang ku kutip daripada buku Al Muntalaq, karya mujahid berasal Iraq, Ahmad Ar Rasyid (semoga Allah merahmatinya). Buku ini serta karya-karya Sheikh ini yang lain banyak memberikanku ketukan minda.
Saya pernah melalui satu tempoh, pada ketika itu saya merupakan seorang yang baru mahu berjinak dengan Islam - iaitu untuk mengenali Islam yang syumul serta mengamalkan apa yang Allah inginkan pada hamba-hambaNya. Saya mengenali dan masih mengingati jasa baik kakak-kakak yang tidak putus asa berdakwah kepada saya yang pada ketika itu berseluar jeans, bertudung 45", ulat study, kaki TV, dan terlibat dengan perkara yang tidak patut berada dalam kamus hamba Allah yang warak dan soleh. Kakak-kakak ini datang dari tempat yang jauh dari tempatku, menziarahi, menyediakan hidangan, mengajak tidur di rumah mereka dan saya dijadikan tetamu yang amat istimewa. Sudah tentu kebaikan akhlak mereka ini membutirkan keinginanku untuk berubah sedikit demi sedikit.
Suasana agak drastik ketika saya masuk ke Tahun 1 pengajian di universiti apabila program dakwah & tarbiyah, usrah dan adanya ustaz & ustazah yang berkaliber dan berpengetahuan tinggi serta penuh berhikmah, "learning curve"ku agak cepat. Dalam masa 1 tahun, kini aku bisa menghafal zikir Al Ma'thurat sedangkan aku tidak pernah mengenalinya. Aku bisa menghafal sekitar 20 hadith pendek dari kompilasi Hadith 40 Imam Nawawi. Aku mula melazimi membaca Al Quran serta terjemahannya. Aku mula mengubah cara pemakaian ke arah yang lebih sopan di sisi Islam. Aku mula membaca karya-karya para mujahid dakwah. Aku mula prihatin dengan perkembangan kawan-kawanku dalam mengikuti program tarbiyah. Aku melaksanakan dakwah fardhi tanpa mengira masa dan tempat.
Ternyata, ia satu tarbiyah yang besar buat diriku untuk menjadi "pioneer" di kawasanku. Dalam tempoh beberapa tahun, kelihatannya aku mula mendahului kakak-kakak yang pada tempoh awal perubahanku, merekalah yang mendidikku. Dalam program-program, aku pula yang memberi pengisian, dan mereka adalah antara para pendengar. Mereka juga adalah antara yang bertanya soalan kepadaku. Di dalam mesyuarat-mesyuarat, aku pula yang mengatur mereka dalam urusan dakwah.
Aku sedari satu perkara yang terus membuatkan aku mencemburui kakak-kakak ini:
1) Betapa mereka ikhlas - melihat orang yang pernah mereka didik menjadi lebih maju dari mereka dan tidak terdetik untuk berdengki mahupun beriri hati
2) Betapa mereka merendah diri - sedangkan mereka golongan lebih awal daripadaku, tetapi mereka bersedia untuk disusun walaupun maklum aku lebih muda dan pernah menjadi mad'u mereka
3) Betapa aku tahu.. apa sahaja kebaikan yang aku buat sehingga saat ini, pasti mereka turut dapat saham-saham, beserta dividennya :-) walaupun mungkin mereka tidak melakukannya sekarang
Sekiranya aku merupakan salah seorang kakak-kakak ini, kemungkinan besar aku tidak mampu menjadi seperti mereka - mungkin aku akan membara dengan perasaan iri hati, dengki, cemburu, ingin menunjukkan bahawa aku lebih baik dan lebih perpengetahuan.
Maha Suci Allah! Dia lebih mengetahui apa yang Dia aturkan!
Kini setelah beralih ke medan juang yang lain, aku kembali menjadi jundi semula. Alhamdulillah, aku melalui satu tempoh tarbiyah yang besar. Aku melihat rakan ku yang "junior dalam dakwah" mampu memintasiku dalam amal kerana peluang amal yang ada baginya disebabkan kurang bebanan kerjaya serta keluarga berbanding diriku. Aku melalui suasana peralihan daripada terbiasa dengan peribadi diri sebagai seorang qiyadah kepada mendisiplinkan diri sebagai jundiyyah. Aku melalui satu transformasi yang terbiasa membuat perancangan dan orang lain mengikut, dan aku pula menjadi pengikut perancangan orang lain.
Hidup bagaikan roda. Adakalanya atas dan bawah. Dan ia perlu terus menjadi roda. Aku ingin menjadi seperti Khalid Bin Al Walid, seorang panglima tentera yang bersedia menjadi tentera biasa. Dan aku juga mahu menjadi seperti Ali karamallahuwajhah, yang berasal dari barisan biasa tentera Badar dan dipilih untuk memulakan pertarungan semasa Perang Badar.
Indahnya hidup dalam dakwah, kerana peluang untuk meng-koreksi diri, meningkatkan potensi diri serta menilai diri sentiasa ada saban hari. Ia berbeze dengan bekerja di dalam organisasi pekerjaan, kerana anda hanya meletakkan sasaran untuk menjadi lebih tinggi, lebih tinggi dan lebih tinggi. Kadangkala tiada ruang untuk menilai serta memperbaiki diri.
Bagi rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa berada di roda atas, janganlah jadi seperti rama-rama yang tersangat kagum dengan refleksi dirinya di atas permukaan air. Kita dengan mudah dapat dikesan dari pelbagai segi - pada aspek tutur kata anda, cara anda menulis dan menaip sesuatu, anda tidak membahasakan orang lain dengan sepatutnya, anda tidak mengucapkan terima kasih atau jazakallah sekalipun, anda berminat dengan kerja-kerja pengurusan dan memandang rendah kerja "macai", cuba mengelak apabila diusul untuk tugasan belakang tabir, suka bergaul dengan pihak pimpinan dan kurang bergaul dengan rakan dakwah yang lebih rendah levelnya.
Aku mohon perlindungan Allah daripada terperangkap dengan bayangan diri yang tak berkesudahan yang membawa 'ujub, riya' dan takabbur.
Na'uzubillah.