Ya Allah, janganlah Engkau menjadikan Al Quran itu sesuatu yang aku tinggalkan! (sama ada dari aspek membacanya, apatah lagi mengamalkannya).
Surah Al Ma’arij dalam ayat ke 18 hingga ke 26, Allah berfirman:
“Neraka itu juga memanggil dan menarik orang yang membelakangi serta berpaling (dari kebenaran),Dan yang mengumpulkan harta kekayaan lalu menyimpannya (dengan tidak membayar zakatnya).Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah;Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang -Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya;Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum -Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta);Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya)”
Ayat-ayat ini, setiap kali aku meneleknya, aku akan mendapatkan pengajaran yang berbeza daripadanya.
Pertama kali aku melalui ayat-ayat ini, aku terkesan dengan sikap manusia yang Allah ciptakan, iaitu suka sangat rasa resah dan gelisah. Bila dapat kesusahan, dia bertambah resah tetapi bila senang, kedekut dan angkuh pula.
Kali kedua aku terkesan dengan ayat ini, berkenaan menafkahkan sebahagian harta kita ke jalan yang diredhai Allah.
Ya benar! Bagi saya, wang adalah antara ujian yang bisa menggoyahkan hati. Kalau semasa belajar dulu, duit biasiswa AUD 384 – di situlah kita hendak bayar pelbagai bil, makanan, pengangkutan, peralatan tulis, yuran program wajib, idan lain-lain. Kalau ikut statistik kerajaan Australia, jumlah wang yang kami peroleh itu "below poverty line", tetapi oleh kerana kami disediakan tempat tinggal, makan malam, serta kursus pengajian ditanggung penaja – bebanan sebenar tidaklah seberat mana. Tetapi, bagi diriku, memang sangat bermujahadah dalam perbelanjaan ketika zaman student lantaran banyak komitmen yang memerlukan wang. Namun aku dapat merasakan satu nikmat yang Allah beri, aku sangat ringan dan mudah memberi untuk jalanNya. Walau terpaksa mengakhiri hari-hari akhir sebelum 28 haribulan (tarikh masuk duit biasiswa) dengan AUD 0 di akaun bank mahupun di tangan. (Aku cuba sedaya upaya tidak meminta kepada ibu bapaku walaupun mereka mampu untuk memberi, untuk mendidik diriku – ada juga lah kerja sampingan, dan menjual barang terpakai untuk mendapatkan wang tambahan).
Lantaran pekerjaanku adalah sebagai penjaga majoriti perbelanjaan kapital di tempat syarikat ku bekerja, mungkin itu sedikit sebanyak membentuk peribadiku? Ataupun mungkin persekitaran tipikal di mana dunia sekelilingnya adalah:
· Shopaholics - para wanita seronok bergaya sakan, memakai dari rangkaian jenama terbaik, termahal dan terkenal;
· IT savvies – dari rangkaian telefon pintar, laptop, ebook dan lain-lain barangan yang dikatakan pemudahcara kehidupan manusia;
· Real Estate scavengers – sibuk membina kekayaan dengan pelaburan hartanah berbentuk kediaman mahupun komersial;
· Automotive geeks – golongan yang suka menukar kenderaan yang mereka pakai, mahupun mengubahsuai kenderaan mereka dengan pelbagai aksesori dengan harapan prestasi kenderaan meningkat;
· Stocks & Shares addicts – sekiranya ada pernah pergi ke pejabat-pejabat sekuriti, adalah mengerikan melihat manusia bagaikan zombie menatap skrin-skrin yang mempamerkan saham-saham, ada yang menangis, menjerit, ketawa secara tiba-tiba (termasuklah yang baru berkecimpung dalam saham melalui pembelian IPO terbesar di rantau Asia Tenggara);
· Health freaks - yang sibuk menghabiskan wang pada pelbagai produk yang dikatakan bagus untuk kesihatan dan untuk berat badan ideal, dan lain-lain kategori;
· MLM bores – ini adalah orang terakhir yang anda ingin jumpa kerana anda akan terasa kagum dengan determination yang ada pada mereka untuk memujuk anda menjadi downline mereka, ada yang sanggup mendakwa rangkaian mereka patuh syariat dan untung paling banyak untung.
Dalam surah Al Ma’arij, Allah berfirman antara orang yang menerima pembalasan yang baik di akhirat nanti, “Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum –“
Itulah key-pointnya. Allah menyuruh kita berdisiplin dalam menginfak. Pada harta kita, kita telah menyediakan sekian jumlah yang tetap untuk dibelanjakan ke jalan Allah. Bukanlah berbelanja dan kemudian hanya menginfakkan saki baki yang tinggal.
Alhamdulillah, aku terdidik dalam organisasi yang menetapkan 5% pendapatan bersih secara bulanan dimasukkan ke dalam tabung central untuk menggerakkan aktiviti dakwah. Walaupun ada tempohnya memang sangat keberatan mengeluarkan jumlah yang bernilai RM 2xx kerana berkeinginan memiliki sesuatu bernilai dunia. Apatah lagi bulan yang mendapat bonus, hampir RM 6xx perlu dikeluarkan. Walaupun tidak diminta untuk menyatakan jumlah sebenar yang harus disumbangkan, ia menilai kejujuran dan ketelusan kita dalam menginfakkan harta yang sangat kita sayangi ke jalan Allah.
Bagi yang tidak berpendapatan tetap, kiralah dari 5% apa yang ada. Sekiranya hanya RM 200 pendapatan kita pada bulan tersebut, RM 10 itulah untuk mendisiplinkan kita dalam berinfaq.
Dan sebenarnya, apabila kita memahami konsep bahawa Allah sangat memandang mulia orang yang menginfakkan harta ke jalanNya, maka secara tidak langsung kita akan meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam melaksanakan segala tugasan kita di tempat kerja untuk yang cari makan, mahupun untuk yang berniaga sendiri. Agar dengan itu, kita dapat terus memberi.
Dan juga, Islam ini satu ajaran yang syumul – mengajar manusia agar pandai menguruskan segala macam hal – termasuk aspek kewangan sendiri.
Dalam Surah Al Baqarah, Allah menyeru untuk kita menginfakkan harta yang kita suka/sayangi.
Dan pelbagai ayat terdapat galakan-galakan lagi. Termasuk janji-janji yang Allah akan melipatgandakan rezeki kita.
Ingatlah, apa yang kita simpan bukan milik kita. Apa yang kita beri itulah milik kita sebenarnya.
Harta dunia (dan anak-anak) sungguhpun indah, akan meninggalkan kita tatkala kita meninggalkan dunia, namun amal-amal soleh itu jualah yang lebih kekal dan lebih baik di sisi Rabb kita. (Rujuk Surah Al Kahfi).
Ke mana perginya nasihat kalau tak ke telinga sendiri…