**tulisan saya ini disiarkan di dalam portal
www.ismaweb.net**
MEMAHAMI
KONTEKS TANAH AIR MENGIKUT SEMPADAN AQIDAH
Setelah
meneliti beberapa komentar di laman sosial beberapa tokoh pendakwah dan
selebriti terkemuka baru-baru ini, saya pasti ramai juga rakyat Malaysia yang
berketurunan etnik dari Indonesia, Borneo dan Indo-China merasakan bahawa
apakah pentingnya mengimbau sejarah lama sedangkan kini semuanya digelar bangsa
Melayu berwarganegara Malaysia. Kadang-kadang kita juga tidak mahu mengatakan
bahawa kita adalah penduduk asal negara ini kerana dikhuatiri dinasabkan
sebagai Orang Asli. Jadi kalau begitulah persepsi masing-masing, Melayu
bukanlah penduduk majoriti negara ini, bahkan bukan penduduk asal, dan sama
tarafnya seperti pendatang dari Tanah Besar China dan India. Jadi adakah
penduduk asal ini sekadar Orang Asli semata-mata?
Mengupas isu
ini, mari kita ambil contoh seorang yang mengakui dirinya berasal dari
Kepulauan Jawa, saya pasti, dia mengetahui asal usul pembukaan kota Jakarta
yang terletak di Kepulauan Jawa itu. Nama asalnya Jayakarta, atau “Fatahillah”
seperti yang diabadikan di dalam salah satu muzium yang berada di ibu kota
Indonesia tersebut.
Sepertimana fakta
sejarah, Kesultanan Melayu Islam Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511.
Pada ketika itu, sempadan Kesultanan Melayu Melaka bukanlah sekangkang kera
seperti negeri Melaka sekarang, bahkan menjangkau ke Sumatera, ke Singapura, ke
segenap semenanjung Tanah Melayu mencecah ke Kelantan. Kepesatan Melaka juga menyumbang
kepada penyebaran dakwah Islam merentasi sempadan taklukannya (termasuk
kepulauan Jawa). Kalau kita “familiar” dengan pantun turun temurun ini,
terdapat kesinambungan antara Melaka dan Jawa:
Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa kami dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Nyawa dan badan kami serahkan
Sememangnya
selepas kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan Islam kecil yang lain tertubuh
untuk mengambil semula tanggungjawab jihad, dakwah dan ekonomi ummat Islam di
rantau Asia Tenggara. Di kepulauan Jawa sendiri, terdapat kerajaan Demak,
Cirebon dan Banten. Panjanglah kisahnya, walau Kota Melaka jatuh, kota-kota
jajahan takluk yang pernah berada di bawah naungan Melaka tidak memberi peluang
kepada Portugis untuk “hidup” dengan aman.
Kembali
berbicara tentang sejarah “Fatahillah”, kita tidak dapat mengelakkan satu nama
besar iaitu Wong Agong Pasai ataupun Fadhillah Khan atau macam-macam nama
gelarannya yang lain, yang merupakan tokoh pembuka kota Jayakarta dari jajahan
dan serangan Portugis pada sekitar 1527, beberapa tahun selepas Portugis
menjatuhkan Melaka. Dikatakan Wong Agong Pasai merupakan anak kepada rakan
Sultan Mahmud Syah, dan beliau berulang alik dari Jawa ke Melaka untuk bertugas
menjaga keselamatan perairan Selat Melaka. Apa kaitan seorang anak muda dari
Kepulauan Jawa sibuk hendak menjaga keamanan satu wilayah Melaka, sekiranya dia
sekadar pendatang asing? Ataukah sebenarnya ada sinergi dan kesatuan antara
wilayah tersebut.
Membaca
sejarah Melaka tidak boleh dipisahkan dengan kisah-kisah kesultanan Islam yang
wujud selepas kejatuhannya.
Kini
sempadan watan Islam di Asia Tenggara, terpecah-pecah dan disempitkan ke
batas-batas geografi tertentu. Bahkan sejarah ummat Islam juga
disempitkan ke batas-batas waktu tertentu. Seolah-olah sejarah Jawa dan sejarah
Melaka tiada perkaitan. Seolah sejarah Acheh tiada kaitan juga dengan Jawa.
Sejarah Singapura juga tiada kaitan dengan Melaka.
Jadi adakah
kerana batas-batas yang dicipta musuh Islam ini, kita menidakkan watan sebenar
ummat Islam? Bahkan kita juga terikut-ikut menyempitkan batas asal usul diri
kita mengikut sempadan geografi yang direka musuh, dan bukannya mengikut
definasi yang kita pelajari dalam manhaj tarbiyah kita.
Lalu kita
kata sekadar pelancong ke Kepulauan Jawa, atau mengakui kita sekadar pendatang
dari sana.
Padahal
wilayah ummat Islam adalah satu dan tidak terpecah. Mereka juga bangsa yang
berasal usul dari kawasan tersebut yang menerima hidayah Allah dan menjadikan
Islam sebagai cara hidup mereka.
Suka saya
ingatkan definasi watan Islam oleh Imam Asy Syahid Hassan Al Banna, “bahawa
batasan nasionalisme bagi kami adalah aqidah, sementara pada mereka (fanatic
kebangsaan) batasan itu ditentukan territorial wilayah negara dan batas-batas
geografi. Bagi kami, setiap jengkal tanah di bumi ini, di mana di atasnya ada
seorang Muslim yang mengucapkan kalimah syahadah, maka itulah tanah air kami.”
SIAPAKAH
PENCEROBOH YANG DIMAKSUDKAN?
Antara topik
perbualan hangat di pelbagai medium maya juga, iaitu berkenaan lontaran ISMA
tentang “kaum Cina penceroboh”. Ada pihak yang telah melihat isu ini dengan
konteks yang tersilap. Lalu menyimpulkan bahawa tiada bezanya kaum pendatang
dari Tanah Jawa dengan Tanah Besar China, dan menganggap pihak yang melaungkan
sejarah asal usul sebagai “indoktrinasi yang sombong dan bongkak”.
Telah
dijelaskan ISMA siapakah kaum Cina yang dimaksudkan, bukanlah Laksamana Cheng
Ho dan sekalian orang dalam rombongannya. Tetapi kaum kapitalis Cina yang masuk
dengan perancangan rapi imperialis British. Dua golongan berbeza, dan dua
“timeline” berbeza. Dua “batch” yang berbeza dari segi cara kedatangan dan cara
asimilasi dengan masyarakat setempat.
Seorang
Muslim, wajib baginya merasa sensitif, ingin bangkit, garang memberi amaran
kepada orang-orang yang berfikrah sekongkol dengan imperialis yang pernah
menjarah tanah air kita.
Kita telah
mencapai kemerdakaan, kita telah pun memaafkan ketamakan mereka dan ingin
mulakan hidup baru. Tetapi sekiranya ada pihak yang masih ingin membawa sifat
dan sikap lama sebagai kolonialis, imperialis dan oportunis, yang tidak mahu
menghormati teras-teras negara ini seperti kedudukan Islam di dalam
perlembagaan, kedudukan institusi Raja selaku penaung Islam, dan juga hak-hak
kaum asal (yang memberikan kelebihan kepada ummat Islam), kontrak sosial, dan
lain-lain aspek negara ini, memang kita persilakan mereka untuk mencari
mengangkat kaki dan meninggalkan tanah air ini!
Adakah ini
seruan yang dilarang Islam? Iaitu menjaga kedaulatan tanah air dari propaganda
menjauhkan ia dari jati diri Islamnya.
Ada juga
lontaran yang menyatakan “mengapakah perlu bersikap cauvinis untuk melawan cauvinisme
yang ditimbulkan oleh sesetengah golongan?” Hal ini dihuraikan dengan jelas
oleh Imam Asy Syahid Hassan Al Banna dalam syarah risalah Dakwah Kami:
“Doktrin
"rasa bangga" terhadap bangsa yang seperti ini -dengan keadilan, keutamaan,
dan kelembutan perasaannya tidak kita dapatkan pada ideologi mana pun kecuali
dalam Islam yang hanif ini. Kita (umat Islam) adalah bangsa yang mengetahui secara
persis bahwa kehormatan dan kemuliaan kita diabadikan oleh Allah melalui
ilmu-Nya dan diabadikan dalam Al-Qur'an dengan firman-Nya,
"Kalian adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia,
menyuruh
kepada yang ma'rut, mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada
Allah"
(Surah Aali Imran: 110)
"Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat
yang adil
dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar
rasul
(Muhammad) menjadi saksi (perbuatan) kamu." (Surah Al-Baqarah: 143)
"Dan bagi Allah-lah kehormatan, bagi rasul-Nya dan bagi orang-orang
yang
beriman." (Al-Munafiqun: 8)
Sungguh
berbeza sifat izzah kepada Islam dan tajarrud kepada Islam, berbanding sifat
cauvinis yang bermaksud kefanatikan membuta tuli, kecintaan kepada bangsa tanpa
ada talian hubungan dengan Allah, menidakkan serta mengambil hak-hak orang
lain, bahkan ingin memadamkan apa yang telah menjadi kepunyaan orang lain dan
menyatakan peraturan mereka sendiri, bahkan yang bertentangan dengan nilai
Islam dalam membentuk hala tuju sesuatu masyarakat dan negara.
MEMAHAMI
KEPENTINGAN KAJIAN ASAL USUL SESUATU BANGSA
Ada juga
seruan untuk “tidak perlulah kita hendak menggembar-gemburkan dan berbangga
dengan sibuk pertahankan siapakah penduduk asal negara ini, biar yang lalu itu
berlalu, kita lihat masa hadapan” , saya harap mereka ini, terutamanya golongan
yang menggelarkan mereka sebagai Islamis, juga bersetuju kita menggunakan
premis yang sama untuk Palestin.
Kaum Yahudi
menggunakan alasan penubuhan negara Israel dengan menyatakan bahawa merekalah
penduduk asal Palestin dengan menyatakan sejarah asal usul Nabi Ibrahim,
Nabi Ishak dan Nabi Yaakub yang signifikan dengan bumi Palestin. Tetapi dengan
bijaknya sarjana Islam, seperti Dr. Azzam Tamimi sendiri menidakkan kenyataan
tersebut.
Mengikut
sejarah Palestin, Nabi Ibrahim berasal dari Iraq, walaupun berhijrah ke
Palestin bersama isterinya Sarah dan anaknya Nabi Ishak, telah ada kaum Qan’an
yang bermastatutin dan membentuk sistem masyarakat di situ. Walau berpangkat
Nabi, namun baginda tidak menidakkan ketuanan kaum Qan’an di bumi Palestin.
Sambungan dari itu, Nabi Yaakob dan 11 orang anaknya juga keluar berhijrah dari
Palestin ke Mesir seperti yang diceritakan dalam Surah Yusuf. Jadi, sudah
terang lagikan bersuluh, bahawa bangsa Yahudi (sekiranya mereka berkata mereka
bernasab dari 12 anak Nabi Yaakob) bukanlah bangsa asal bahkan bukan penetap
untuk satu jangka masa yang lama di Palestin.
Kajian
mengenai asal usul penduduk suatu tempat adalah sebagai wasilah penting untuk
mempertahankan watan Islam. Apa yang berlaku kepada Muslim Rohingya di Arakan
yang berpuluhan tahun bermati-matian mempertahankan hak mereka selaku penduduk
asal wilayah tersebut. Namun kerana kekurangan kajian arkeologi dan bukti sejarah
yang tidak tersusun, mereka senang-senang dituduh Junta Myanmar selaku bukan
penduduk asal, dan mereka cuba dihapuskan dari bumi Myanmar. Dan terdapat
pelbagai wilayah yang diduduki oleh kaum Muslimin yang berhadapan dengan
konflik yang sama seperti Muslim Rohingya.
Adakah
bersetuju dengan lontaran yang menyatakan bahawa Melayu juga adalah pendatang?
Adakah kita bersetuju bahawa kaum Melayu berasal dari salah satu wilayah di
Tanah Besar China seperti yang dipamerkan di muzium di Singapura?
Sedangkan
telah ada kajian yang mendalam serta mengambil masa puluhan tahun dari para
sejarawan di Malaysia sendiri. Bahkan ada ramai juga sejarawan dari Indonesia,
Brunei, Singapura, Filipina dan Kemboja juga membawakan pembuktian yang sama.
Mereka ini telah mengkaji pelbagai manuskrip, bukti-bukti arkeologi dan juga
kajian sains melalui sains DNA dan genetik menyatakan bahawa Melayu merupakan
penduduk asal di kepulauan Tanah Melayu, bahkan di sebahagian Asia Tenggara,
dan juga ada yang kemudiannya berlayar dan berhijrah hingga ke benua
Australasia, dan juga Afrika.
Pihak
pengkaji Barat juga tidak mampu lagi untuk menidakkan kewujudan ini dan
menamakan “racial stock” ini sebagai Proto Malay ataupun Deutro Malay. Sepertimana
kita tidak terkeliru dengan bangsa Arab, sama ada mereka berasal dari Arab
Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Jordan, Mesir atau Yaman, sepatutnya kita tidak
perlu terkeliru juga dengan siapakah bangsa Melayu, dan dari bahagian manakah
mereka berasal, mereka sebenarnya rumpun yang sama.
Tuduhan
menafikan asal usul bangsa Melayu adalah tuduhan yang jahat. Lebih jahat lagi
apabila kita menafikan hubungan yang intim antara bangsa Melayu dengan identiti
Islamnya. Lebih-lebih jahat lagi apabila kita bersetuju untuk memisahkan
sempadan ukhuwah yang telah banyak dipermudahkan oleh Allah dengan pelbagai
persamaan seperti bahasa, makanan ruji, adat kebudayaan tertentu bahkan rupa
dan warna kulit.
Besar
implikasinya untuk menafikan hak kita ke atas harta kita sekecil-kecil pensil
dan alatulis, apatah lagi tanah air tempat tumpah darah diri kita, serta nenek
moyang kita.
DAKWAH
DAN LINGKUNGANNYA
Ada juga
lontaran yang menyatakan “fokuslah kepada dakwah, mengapa ingin diketengahkan
sangat sentiment sejarah yang akan melukakan banyak perasaan”.
Selaku orang
yang berkecimpung dalam dunia dakwah, saya pasti sebahagian pemuka-pemuka laman
sosial sangat menitikberatkan aspek dakwah dan islah sebagai solusi
mengembalikan kegemilangan ummat. Rasulallah s.a.w. telah menunjukkan qudwah
yang baik dan lengkap untuk memperbaiki masyarakat Arab. Islam yang sampai
kepada kita sekarang ini merupakan Islam yang telah lengkap merangkumi 23 tahun
wahyu yang diturunkan kepada Rasulallah. Bahkan ia ditunjukkan lagi oleh
generasi salafus-soleh tentang aplikasi Islam dalam kehidupan.
Dalam
konteks hubungan dengan bukan Islam, ada yang memilih untuk mengambil metod
seperti dakwah di zaman Mekah. Namun begitu janganlah dinafikan bahawa agama
Islam ini telah diturunkan kita dengan sempurna. Di sana wujud konsep wala’ dan
barra’ yang merupakan sebagai salah satu intipati penting dalam membataskan
hubungan ummat Islam dengan bukan Islam. Apa juga pendekatan yang kita hendak
gunakan, pastikan fiqh dakwahnya betul, bukan sekadar mengikut emosi dan
panduan akal semata-mata, lalu dihiasi dengan sedikit sebanyak dalil, dan
beralasan sebagai “dakwah bil hikmah”. Ada yang menyatakan Nabi Musa juga
menyampaikan dengan lemah lembut kepada Firaun. Namun terlupa juga dia kepada
kisah Nabi Musa mencabar tukang-tukang sihir diraja Firaun, menarik janggut
Nabi Harun kerana melihat kepada kegagalannya mengawal ummatnya untuk
mentauhidkan Allah dan menyembah lembu buatan Samiri.
Jangan
sehinggakan ingin menggunakan hujah kepentingan dakwah kepada bukan Islam,
sehingga kita keras terhadap rakan pendakwah yang memilih metodologi yang tidak
sekapal dengannya. Dibesarkan sangat urusan menjaga hati mereka yang bukan
Islam (apatah lagi yang membentuk pakatan menentang Islam terang-terangan)
sehinggakan agak terlupa sebahagian golongan pendakwah ini kepada maksud firman
Allah:
“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan
orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu ibu bapa,
anak-anak, atau saudara mara ataupun keluarga mereka.” Surah Mujadalah, ayat
22.
Dakwah Islam
kita bukan bersifat apologetik, tetapi jelas menyatakan pendirian dan izzah
terhadap intipatinya. Jadilah kita seperti Rabi’a Ibn Amir yang berhadapan dengan
Panglima Parsi, Rustum:
"Allah
telah mengutus kami untuk menarik keluar sesiapa sahaja yang dikehendaki- Nya
daripada pengabdian kepada sesama hamba Tuhan kepada pengabdian kepada Allah
sahaja, dari kesempitan dunia kepada keselesaan hidup dunia dan akhirat, juga
dari kezaliman agama-agama lain kepada keadilan agama Islam.”
Allah
melarang sifat merendah diri kepada kekufuran dan pejuang-pejuangnya seperti
yang dihuraikan Syed Qutub berkenaan ayat:
"Janganlah
kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah
orarg-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang
beriman." (Surah Aali Imran, ayat 139)
SEJARAH
MENGEMBALIKAN JATI DIRI UMMAT
Orang Melayu
di Malaysia ini adalah orang yang paling “self-admitting”. Kita tidak malu
mengakui anak bangsa kita pemalas, suka bercinta, suka berangan dan apa jua
perkara yang disinonimkan dengan gejala negatif. Walaubagaimanapun, mengakui
kelemahan yang ada pada anak bangsa kita bukanlah bermaksud perlu menafikan
segala kekuatan dan peluang yang masih tersisa. Selaku orang yang berada di
dalam gerakan Islam yang menjadikan dakwah dan tarbiyah sebagai tunggak, apa
jua peluang yang boleh dijadikan wasilah untuk mengembalikan jati diri ummat
perlu digunakan sebaiknya. Kita bukan menyeru bangsa Melayu (yang mana
mereka inilah yang membentuk majoriti ummat Islam di Malaysia) untuk
mengamalkan asobiyah jahiliyah, seperti tarian kuda kepang, joget lambak,
amalan rasuah dan seumpamanya. Tetapi ingin menyeru mereka berpaut kepada
satu-satunya cara hidup yang menyebabkan mereka hebat suatu ketika dulu, iaitu
dengan Islam.
Memang benar
terdapat sebahagian dari ummat Islam ini, yang mencemarkan maruah Islam,
merosakkan identiti Melayu yang dekat dengan Islam, namun janganlah kerana
nyamuk-nyamuk ini, kelambu dibakar.
Ummat yang
tidak mengenal sejarah akan menjadi ummat yang terawang-awang mencari solusi
yang belum pasti. Sedangkan Allah menjadikan sejarah sebagai suatu sunnatullah,
untuk dikaji, diambil iktibar, dan diulang pakai mana-mana solusi yang berkesan
buat ummat.
Saya percaya
di dalam perlaksanaan manhaj tarbiyah beberapa gerakan dakwah, banyak menggunapakai bahan
seperti Sirah Rasulallah, Kisah-Kisah Sahabat dan Tabi’ dan Tabi’in,
Antara Semalam Dan Hari Ini syarahan Imam Asy Syahid Hassan Al Banna.
Bahan-bahan ini menjadi sumber rujukan penting untuk menyedarkan orang yang
didakwahkan. Sepatutnya perkara ini dilihat sebagai satu titik persamaan dengan
ISMA.
Menyedarkan
ummat tentang kepentingan sejarah adalah satu metodologi yang disarankan oleh
Allah sendiri, seperti firman Allah kepada RasulNya yang bermaksud:
“Dan tiap-tiap berita dari berita
Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan
hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan
pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.” Surah Hud, ayat
120.
Bahkan juga
menjadi pesan dari Rasulallah sendiri berkenaan jangan mengulangi sifat dan
sikap ummat yang pernah diberikan kitab:
Daripada Abu Sa’id al Khudri RA,
beliau berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda : “Kamu akan mengikut jejak
langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta,
sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”.
Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau
maksudkan?” Nabi SAW menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (Riwayat
Muslim)
Musuh Islam
sendiri, menyatakan kepentingan sejarah bagi ummat Islam, seperti yang
dikatakan oleh Moshe Dayan (1915 – 1981) seorang negarawan Israel :
“Faktor kegagalan ummat Islam adalah
kerana sifat malasnya, tidak mempunyai perancangan dan tidak mempelajari
sejarah.”
“Sunnatullah”
(peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan engkau tidak
akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu.” Surah Al Fathu, ayat 23
Allahu’alam.